PADI  SRI ORGANIK TUNJUNG

Oleh:Atiff Idris

Pengenalan

Di dalam menyahut seruan kerajaan dan menyokong Program Penghijauan Bumi, Kelantan telah melakukan transformasi  di dalam bidang pertanian dan mendahului negeri-negeri lain apabila telah  memperkenalkan Projek Pad SRI Organik (System Rice of Intensification) . Projek tersebut merupakan cetusan idea YB. Dato’ Hj. Husam Musa dan selaku ADUN Salor beliau telah menumpukan ‘pilot project’ ini di Baruh Tunjung, Dun Salor.

SRI amat menekankan aspek pengurusan tanah secara berhemah, memastikankesuburan tanah, dan ekosistem, serta sifar baja kimia dan sifar racun. Taman Organik Tunjung ini dimulakan pada tahun 2009 dan telah melalui lima musim turut  mendapat perhatian khas daripada YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat. Selain bertujuan komersial, ia juga bermatlamat menjadikan tapak projek ini sebagai kawah ilmu khususnya bagi penduduk Salor dan Kelantan umumnya belajar dan memahami kaedah pertanian secara organik.

Berasaskan matlamat Kebajikan dan Ekonomi, projek pertanian organik bagi Dun salor ini diletakkan di bawah pertubuhan kebajikan SalorCare yang dinaungi oleh Dato’ Husam Musa sebagai platform untuk aktiviti kebajikan penduduk Dun tersebut seterusnya akan dikembangkan kepada Dun-Dun lain di seluruh Kelantan. Seterusnya ditubuhkan sebuah syarikat bernama Sunnah Tani Sdn Bhd (STSB) bagi mengendalikan aktiviti pertanian organik tersebut. Antara perkhidmatan yang disediakan oleh STSB ialah :

  • Memberikan  latihan Pertanian secara SRI Organik kepada petani , agensi atau badan-badan Kerajaan dan bukan kerajaan.
  •  Menyediakan tempat untuk latihan teori dan praktikal
  • Tenaga pengajar yang pakar dalam bidang pertanian SRI organik
  • Menyediakan peralatan seperti mesin pertanian dan sebagainya
  • Menjadi pusat latihan praktikal kepada mahasiswa dari Institut Pengajian Tinggi
  • Merupakan  tempat penyelidikan kepada semua agensi / institusi pengajian tinggi bagi membantu usaha penambahbaikan dalam bidang pertanian

Projek ini juga bertujuan untuk menghasilkan padi yang lebih bermutu, lebih tuaian, kos pengurusan yang minimum serta memelihara kehijauan alam semula jadi disamping mampu mengurangkan kesan pemanasan bumi yang semakin meningkat (global warming). Berbanding penggunaan baja dan racun yang berasaskan kimia telah mengubah ekologi dan membunuh pelbagai hidupan serta flora dan fauna yang menjadi punca pendapatan sampingan petani seperti ikan keli, haruan, belut, siput dan sebagainya. Dengan keluasan bendang  bermula dengan keluasan 3 ekar kini telah meluaskan skala kepada 12 ekar  yang selama ini terbiar dan menjadi  habitat segelintir hidupan telah dimanfaatkan dengan menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat bermulanya penanaman padi menggunakan kaedah organik pertama di negeri ini.

Berbanding di Indonesia, kaedah penanaman ini diusahakan oleh petani di atas bendang berkeluasan suku ekar sahaja. En. Kamalruzaman Abdullah selaku Ahli Lembaga Pengarah STSB berkata, hasil tuaian padi terus meningkat setiap musim. Pada musim pertama sebanyak 3 metrik tan, meningkat kepada 4.5 metrik tan seterusnya 6.5 metrik tan dan 9 metrik tan pada musim keempat. Katanya lagi dengan kejayaan ini telah membuka ruang kepada agensi di bawah Kementerian Pertanian Malaysia untuk meluaskan lagi kaedah penanaman organik di negeri-negeri lain.

Kini ianya telah berkembang dan sedang diusahakan di Sik, Kedah dan Tanjung Karang, Selangor. Mohd. Nuri Yaacob yang juga Ahli Lembaga Pengarah STSB menyifatkan kejayaan STSB di dalam menghasilkan benih padi ‘Hijrah’ adalah kejayaan besar kerana ianya boleh meningkatkan hasil pengeluaran. Jelas beliau, STSB sebelum ini telah menjalankan program latihan untuk memberi  pendedahan mengenai kaedah organik kepada para petani, agensi-egensi kerajaan, Armalah, pelajar-pelajar pondok, pelajar YIK, Pelajar sekolah tahfiz termasuk pelajar sekolah rendah kebangsaan. Antara penglibatan di peringkat nasional jelasnya, pihak Sunah Tani telah dijemput untuk membentangkan kertas di persidangan SRI yang pertama kali diadakan di Putrajaya Resort.

“Taman Organik Tunjung juga kini telah menjadi tempat kajian yang pertama di Malaysia. Baru-baru ini Taman Organik telah dikunjungi wakil daripada Cornel University, Amerika Syarikat, “Sambutan daripada petani tempatan dan luar juga amat menggalakkan termasuk kunjungan daripada syarikat-syarikat korporat,” tambah beliau.

Bagi merealisasikan projek ini, pembimbing utama projek iaitu En. Aidi Sharifuddin atau lebih dikenali sebagai Pak Aep  bersama-sama tiga orang pembantu telah didatangkan khas daripada Tasik Malaya Bandung, Indonesia. Kini selepas meluaskan kawasan penanaman organik, seramai 10 orang pembantu telah ditambah untuk melancarkan aktiviti. Beliau mempunyai kepakaran dan pengalaman yang tinggi di dalam penanaman padi menggunakan kaedah tersebut. Setakat ini sebanyak dua belas buah Negara telah beliau kunjungi termasuk di benua Eropah di dalam rangka memperkenalkan kaedah penanaman SRI ini. Kini beliau telah di minta berkhidmat dengan salah sebuah pertubuhan melibatkan pertanian di Negara Brunei. Walaubagaimanapun Pak Aep akan kembali membimbing STSB pada penghujung September 2011 nanti.

Sebelum ini Pak Aep selaku pembimbing telah mengadakan beberapa siri kursus dan ‘road show’ di seluruh Dun Salor untuk memberi penerangan serta tunjuk ajar kepada para petani. Turut diajar ialah cara-cara membuat sendiri Mikrob atau MOL kepada seluruh petani yang berminat. Kaedah yang digunakan di Salor adalah penanaman secara manual berasaskan benih tunggal yang mampu menghasilkan anak padi yang lebih kuat bersesuaian dengan buah padi yang lebat sehingga boleh menghasilkan lebih daripada 150 butir padi setangkai berbanding kaedah biasa 30-60 butir setangkai. Setelah melalui proses membaikpulih tanah secara berterusan oleh pihak STSB, nilai pH tanah semakin pulih daripada pH2 kepada pH6.8-pH7 yang sesuai untuk penanaman berasaskan organik. Pertambahan Hasil Melalui kaedah SRI organik, pertambahan hasil keluaran meningkat begitu tinggi dimana hasil padi yang ditanam pada keluasan satu hektar akan memperolehi hasil sebanyak 8-12 tan berbanding kaedah biasa hanya 3-4.4 tan perhektar. Organik sebagaimana digunakan pada kebanyakan tanaman sawah umumnya:

  • Tidak ada racun serangga dan baja dari bahan kimia sintetis atau buatan yang telah digunakan.
  • Kesuburan tanah dipelihara melalui proses ‘alami’ seperti penanaman tumbuhan penutup dan/atau penggunaan baja kandung yang dikompos dan limbah tumbuhan.
  • Tanaman dirotasikan di bawah untuk menghindari penanaman tanaman yang sama dari tahun ke tahun di sawah yang sama.
  • Penggantian bentuk-bentuk bukan kimia dari pengendalian hama digunakan untuk mengendalikan serangga, penyakit dan gulma. Contohnya serangga yang bermanfaat untuk pemangsa hama, jerami setengah busuk untuk menekan gulma dan lain-lain.

Tarikan Kepada Pihak Luar

Setelah beroperasi selama dua tahun di bawah bimbingan Pak Aep, projek ini diteruskan di bawah seliaan En. Farif Othman selaku Penyelia STSB yang berpengalaman bekerja dengan Pak Aep di sepanjang beliau memimpin projek ini. Setelah diperkenalkan kepada umum, ianya menarik banyak pihak untuk mendalami ilmu pertanian secara organik yang diusahakan oleh STSB, antaranya daripada institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaysia Kelantan yang menghantar pelajar untuk praktikal. Selain itu ia turut dikunjungi pihak MARDI dan BERNAS termasuk agensi pertanian daripada negeri Kedah dan Selangor untuk tujuan rujukan di samping mendalami kaedah tersebut. Kini pihak KADA juga turut berminat dan telah mengunjungi Baruh Tunjong untuk mendapatkan gambaran sebenar berkaitan padi organik. Terdapat kira-kira 40 orang peserta yang mengikuti kursus organik telah pun berjaya mengusahakan tanaman organik, antaranya daripada Bachok dan Kota Bharu.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Mutiara Kata

"Kecemerlangan adalah hasil daripada sikap yang ingin sentiasa melakukan yang terbaik."

Mod Penglihatan Mod Penglihatan Cerah Mod Penglihatan Malap

Saiz Tulisan Besarkan Saiz Tulisan Kecilkan Saiz Tulisan Reset Saiz Tulisan

Bahasa