PENDUDUK MISKIN DI KELANTAN DIBANTU BERAS PERCUMA SETIAP BULAN

KOTA BHARU: Mungkin ramai tidak lupa program Subsidi Beras Untuk Rakyat Miskin (SUBUR) yang diuar-uarkan kerajaan pusat pada 2009. Sekarang apa dah jadi dengan program terbabit. Ketika itu kerajaan Barisan Nasional (BN) bercadang mengagih 6,000 metrik tan beras sebulan kepada penduduk berpendapatan kurang RM1,740 sebulan. Ada menteri bercakap pembahagian beras super special tempatan akan dilaksanakan melalui pembahagian kupon bermula 1 Disember 2009. Sebaliknya di Kelantan program serupa sudah berjalan sejak pertengahan tahun lepas (2010). Ia dikendalikan Tabung Kebajikan dan Sosial Rakyat Dun Wakaf Bharu (Taksir).

Biar pun tidak dihebah secara besar-besaran melalui media massa, namun kebajikan rakyat tetap menjadi keutamaan. Benarlah kata orang Kelantan negeri berkebajikan.

Seramai 225 penduduk miskin di Dun Wakaf Bharu mendapat sebanyak 10 kg beras percuma setiap seorang pada tiap-tiap bulan.

Dana bagi mengendalikan bantuan beras itu diambil daripada elaun wakil rakyat Dun Wakaf Bharu seperti dijanjikan dalam kempen pilihan raya umum ke-12 lalu. Ekoran kejayaan program itu di Wakaf Bharu, kerajaan negeri mulai tahun ini memperluaskan skim bantuan beras percuma ke seluruh Dun di Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta dalam belanjawan tahun ini untuk mengendalikan skim bantuan beras percuma. Dan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Jun lalu ditambah peruntukan sebanyak RM1 juta lagi.

Katanya, pada peringkat awal seramai 100 penduduk miskin di setiap kawasan Dun menerima beras sebanyak 10 kilogram setiap seorang. Sekarang jumlah penerima 180 orang di setiap Dun.
”Ini bermakna seramai 8,100 penduduk miskin mendapat kemudahan tersebut setiap bulan sekarang. Penduduk yang diberi bantuan tersebut dipilih dari senarai E-Tegar di bawah kerajaan negeri,” katanya di sini.

Kejayaan pelaksanaan skim beras percuma di Dun Wakaf Bharu sejak Jun 2010 menjadi perintis kepada Skim Al Itt’aam dilaksanakan di seluruh Kelantan. Al It’aam bermaksud menyediakan bantuan makanan ruji berupa beras kepada keluarga yang benar-benar memerlukan.

Che Abdullah yang juga Adun Wakaf Bharu memberitahu skim terbabit sebenarnya sudah lama dilaksanakan di negara maju termasuk Amerika Syarikat bagi membantu penduduk miskin. Pelancaran skim al It’aam diadakan di Dataran Pasir Pekan 6 Febuari lalu disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Penduduk miskin yang layak diberi bantuan tanpa mengira ideologi politik, bangsa atau agama. ”Kerajaan negeri bercadang mempertingkatkan program ini pada masa akan datang,” kata Exco terbabit.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Dato’ Husam Musa berkata, menyedari bebanan rakyat semakin meningkat menyebabkan kerajaan negeri memperkenal pelbagai skim bantuan untuk rakyat. Antaranya Ladang Rakyat, Takaful Kifaalah dan one-off Armalah, bantuan persekolahan dan pelbagai lagi.

Mutiara Kata

"Kecemerlangan adalah hasil daripada sikap yang ingin sentiasa melakukan yang terbaik."

Mod Penglihatan Mod Penglihatan Cerah Mod Penglihatan Malap

Saiz Tulisan Besarkan Saiz Tulisan Kecilkan Saiz Tulisan Reset Saiz Tulisan

Bahasa