SKIM AL IT’AAM BANTU RAKYAT MISKIN

Pengilang, Pemborong, Petani Juga Terima Tempias

Kelantan ternyata mampu dinobatkan sebagai peneraju program berkebajikan di negara ini. Pelbagai  program dan usaha dilakukan bagi memastikan kebajikan rakyat tetap terpelihara. Inilah tugas sebenar pemerintah, bukan hanya sekadar menyediakan infrastruktur untuk rakyat. Bermula dengan Tabung Serambi Mekah, Tabung Amanah Tok Kenali kemudian dilebar pula kepada skim Takaful Kifaalah, ‘one off’ armalah, Az Ziwaaj dan sekarang Al It’aam. Program bantuan beras percuma atau lebih dikenali sebagai al It’aam dimulakan pada Febuari 2011. Sebanyak RM1.5 juta diluluskan kerajaan negeri pada belanjawan 2011 bagi melaksanakan skim berkenaan. Seramai 100 keluarga miskin dipilih daripada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada peringkat awal. Kemudian mulai Julai lalu ditambah menjadi 180 orang. Oleh itu bagi melihat dari dekat pelaksanaan skim berkenaan ikuti temubual wakil e-Tani bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi baru-baru ini.

 Macam mana boleh tercetus idea mewujudkan skim Al Itaam?

Sebenarnya ia bermula dengan hasrat untuk membantu rakyat. Ini bukan bermakna belum ada apa-apa bantuan sebelum ini, kita telah menghulurkan pelbagai bantuan kepada rakyat. Bantuan beras sebenarnya kita mulakan di Dun Wakaf Bharu yang dikenali sebagai Skim Bantuan Beras untuk rakyat termiskin. Kita mengambil model pelaksanaan program Women, Infants and Children (WIC) di Amerika Syarikat. Dan di peringkat kerajaan persekutuan pula pada 2009 disebut mahu membahagikan subsidi beras kepada rakyat miskin yang dikenali sebagai SUBUR. Program itu biar pun diisytiharkan pada awal 2009 untuk dilaksanakan awal 2010, namun tidak  menjadi kenyataan sehingga sekarang. Difahamkan berlaku masalah di peringkat bawahan bagi memilih penerima yang layak.

Masalahnya difahamkan timbul apabila ada senarai di kalangan keluarga mereka (Umno) untuk mendapat bantuan itu. Jadi apabila mereka tidak laksanakan kita ambil sedikit model SUBUR dan WIC untuk dilaksanakan di Kelantan. Pada peringkat awal kita laksanakan percubaan di Dun Wakaf Bharu tahun lepas. Program itu juga keluar dalam akhbar terutamanya akhbar berbahasa Cina. Manakala pemilihan peserta tidak mengambil kira latar belakang politik, kaum dan agama. Mereka yang benar-benar miskin layak mendapat bantuan itu.

Bermula dari situ orang lain mulai berminat untuk mengetahui lebih terperinci skim bantuan terbabit. Saya juga memberitahu Menteri Besar skim bantuan beras berkenaan mendapat sambutan dan sekurang-kurangnya membantu meringankan bebanan penduduk miskin. Kita boleh lihat mereka yang menerima beras percuma betul-betul terdiri daripada keluarga miskin. Ini dapat dikesan dari segi pemakaian, gerak geri dan wajah mereka. Golongan terbabit benar-benar melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih di atas bantuan diberi wakil rakyat di Wakaf Bharu. Program yang dilaksanakan diadakan dengan jayanya.

Maka  bermula dari situ Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di atas sifatnya penyayang kepada rakyat, beliau meminta saya menyediakan kertas kerja untuk dilaksanakan di peringkat negeri. Skim bantuan beras itu kita lancarkan di Wakaf Baru pada Mei 2010 dan akhirnya pada 6 Febuari 2011 program berkenaan dilaksanakan di peringkat negeri. Pelancaran peringkat negeri dibuat di Dun Pasir Pekan. Dan selepas itu penyampaian beras percuma diadakan di seluruh Kelantan pada setiap bulan bermula Febuari 2011.

Bagaimana kriteria digunakan bagi memilih penerima?

Penduduk miskin diambil daripada senarai eTegar yang dilaksanakan kerajaan negeri melalui bancian Pejabat Tanah Jajahan. Ini syarat utama yang digunakan bagi memilih setiap peserta. Skim itu dinamakan sebagai al It’aam atau bantuan makanan asas. Bagi peringkat permulaan kita beri bantuan paling asas iaitu beras. Dan sekiranya keadaan kewangan kerajaan negeri mengizinkan, pada masa akan datang ia tidak hanya tertumpu kepada beras sahaja, malah akan diperluaskan kepada bantuan lain seperti minyak masak, gula, sardin dan sebagainya. Cuma buat permulaan kita beri beras.

Berapa peruntukan disediakan kerajaan bagi melaksanakan skim ini?

Pada bajet tahun lepas diperuntukan sebanyak RM1.5 juta. Dan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Jun lalu kerajaan negeri menambah sebanyak RM1 juta lagi sebagai peruntukan tambahan bagi membolehkan lebih ramai lagi menerima skim bantuan beras.

Pelaksanaan skim kebajikan seperti ini tentunya membebankan kewangan kerajaan negeri disebabkan sumber kewangan negeri agak terhad?

Kalau hendak kira saya sendiri di Dun Wakaf Bharu, ada pihak yang cuba ugut dia kata orang dok tanya YB Che Lah ni ambil duit kat mana kerana asyik membahagikan macam-macam benda kepada rakyat. Lalu saya jawab rakyat sebenarnya tidak tanya Che Lah ambil duit kat mana, sebab rakyat tahu saya tidak boleh ada duit dalam poket, asyik nak bahagi kepada rakyat. Apa rakyat tanya duit royalti yang sepatutnya boleh kepada kerajaan Kelantan tiba-tiba Umno mengaku di persidangan Dewan Undangan Negeri, mereka rompak duit royalti. Dia kata mereka rompak untuk bahagikan kepada rakyat yang bernilai berbilion banyaknya. Persoalannya duit yang diakui dirompak untuk dibahagi kepada rakyat itu dok mana. Tak kan pula hanya sekadar memberi 50 notebook di satu-satu Dun sudah memadai.

Dok mana yang berbilion ringgit, itu yang rakyat hendak tanya. Jadi di sini, biar pun kerajaan Kelantan tidak diberi royalti minyak, dengan hasil yang sedikit kita masih mampu laksanakan program kebajikan. Kalau dilihat bajet tahunan kerajaan Kelantan hanyalah sekitar RM400 juta. Bukan sahaja skim al It’aam tetapi pelbagai skim lain yang kerajaan Kelantan buat dengan duit sebanyak itu. Tidak lain dan tidak bukan itulah yang dinamakan sebagai berkat. Di sini saya hendak sebut amanah kepimpinan. Ini kerana duit benar-benar sampai kepada rakyat walaupun RM400 juta. Kalau kita tengok baru-baru ini ada negeri Sabah atau Sarawak hanya untuk bajet tambahan industri desa sahaja hampir RM400 juta diperuntukan.

Sedangkan kita peruntukan untuk industri desa di Kelantan hanya sebanyak RM500,000. Tapi kalau boleh dibandingkan peruntukan RM400 juta dengan RM500,000 kita masih boleh memberi manfaat kepada rakyat Kelantan. Jadi skim al It’aam ini memanglah kerajaan negeri berjimat demi untuk kepentingan rakyat miskin. Maka kerajaan boleh cari ellocate (peruntuk) setakat ini RM2.5 juta untuk kepentingan rakyat termiskin. Kalau kita dapat duit banyak seperti negeri-negeri lain atau mendapat royalti, banyak manfaat yang boleh dinikmati oleh rakyat Kelantan. Berbilion ringgit royalti itu rakyat Kelantan tidak boleh rasa, tiba-tiba hari ini cuma dirasai oleh pemimpin Umno sahaja.

Apa agaknya punca program SUBUR tidak dapat dilaksanakan  biar pun kerajaan pusat memiliki kekuatan dari segi kewangan?

Ini satu lagi yang dapat digambarkan apabila tidak ada sifat amanah dalam diri pemimpin. Duit ada banyak, skim sudah lama dilancar mengapa pula tidak dapat dilaksanakan. Kerajaan pusat paling tidak sekurang-kurangnya dapat mengagihkan 20 kg beras sebulan kepada keluarga miskin. Sedangkan apa yang dilaksanakan di Kelantan sekarang hanya 10 kg sebulan untuk setiap keluarga. Pemimpin Umno diamanahkan untuk menjaga khazanah negara, anehnya mengapa ramai rakyat masih lagi miskin. Malaysia semua orang tahu sebuah negara yang mempunyai pelbagai sumber kekayaan bumi seperti minyak, getah, kelapa sawit, namun mengapa masih ramai lagi rakyat yang miskin. Ini tentunya ada sesuatu kesilapan dalam urus tadbir negara. Tidak ada sifat amanah dan jujur. Penyelewengan menjadi punca program itu tidak dapat dilaksanakan. Program untuk rakyat termiskin di kampung pun tidak dapat dilaksanakan apatah lagi program besar lain. Perkara ini bukan lagi sekadar tuduhan malah diakui sendiri pemimpin  Umno apabila mereka gagal melaksanakan skim yang sudah lama dirancang.

Mengapa agaknya masa terlalu lama diambil bagi membolehkan skim SUBUR dilaksanakan?

Rasanya tidak ada kaedah lain lagi bagi menyelesaikan masalah tersebut melainkan memberi tanggungjawab kepada mereka yang lebih amanah untuk menerajui negara pada pilihan raya umum akan datang.

Mungkinkah apa yang dilaksanakan di Kelantan sekarang sudah memberi gambaran sebenar sebagai sebuah negeri berkebajikan?

Kelantan sebenarnya sudah lama melaksanakan pelbagai program kebajikan kepada rakyat. Seperti juga amalan puasa sudah lama diamalkan umat Islam. Sama juga dengan konsep Negara Islam sudah lama diperjuangkan PAS, bukanlah setiap hari kita sebut perkataan Negara Islam, tentunya ada ketika disebut juga Negara Berkebajikan. Ini kerana Negara berkebajikan itu adalah sebahagian daripada ciri-ciri negara Islam.

Mungkinkah penerima daripada senarai e-Tegar yang menerima skim beras al It’aam tidak dipertikai orang ramai?

Syarat-syarat penduduk miskin yang tersenarai dalam e-Tegar sudah menepati kriteria ditetapkan kerajaan negeri.  Mereka memang layak kerana tergolong dalam senarai penduduk termiskin. Kriteria itu dibuat berasaskan kepada kajian Unit Perancangan Ekonomi Kerajaan Negeri (Upen) dan Pejabat Tanah dan Jajahan. Senarai daftar dalam e-Tegar dikemaskini dalam tempoh enam bulan sekali. Jadi kalau ada laporan menunjukkan seseorang penerima sudah terkeluar daripada syarat-syarat ditetapkan bantuan beras tidak lagi diberi kepada mereka dan diagih kepada penerima lain pula.

Adakah jumlah penduduk termiskin dapat dikurangkan dengan ada skim bantuan ini?

Skim bantuan beras ini objektifnya bukanlah sampai  boleh mengurangkan bilangan penduduk termiskin. Skim ini setidak-tidaknya dapat mengurangkan bebanan mereka bagi menyediakan makanan asas bagi keperluan keluarga. Dan apabila beras sudah ada mereka  boleh menggunakan wang bagi membeli barangan keperluan asas lain. Kita di Kelantan sebenarnya sudah ada pelbagai skim bantuan bagi membantu rakyat miskin berdikari termasuk galakan usahawan, usahawan tani dan pelbagai lagi. Bantuan beras diberi dengan harapan dapat meringankan sedikit bebanan kehidupan mereka.

Apakah ada jawatankuasa khas memantau keberkesanan skim berkenaan?

Jawatankuasa khas itu ialah Jawatankuasa Skim Al It’aam. Dan ada juga jawatankuasa di peringkat jajahan diketuai Ketua Jajahan. Urusetia program berkenaan ialah Kumpulan Pertanian Kelantan Sdn Bhd (KPKB). Setakat ini kita belum lagi menerima sebarang rungutan mengenai kelayakan penerima bantuan skim al It’aam secara rasmi. Pejabat-pejabat Tanah dan Jajahan memantau dan memastikan penerima diambil daripada senarai eTegar. Tiada sebarang komplen mengenai senarai tersebut setakat ini.

Sejak program ini dilaksanakan Febuari lalu sejauh mana penerimaan di kalangan rakyat?

Kita boleh lihat sendiri wajah-wajah penduduk miskin yang datang menerima bantuan beras begitu gembira sekali. Ramai merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri. Kata mereka sekarang tidak perlu fikirkan lagi soal membeli beras bagi keperluan keluarga seperti lazimnya sebelum ini. Duit untuk membeli beras mereka boleh gunakan bagi membeli keperluan lain seperti lauk pauk dan sebagainya. Biar pun usaha ini dilakukan bagi tujuan membantu rakyat, namun ada pihak mempersendakan usaha kerajaan negeri. Mereka perlu ingat biar pun kita bahagi 10 kg setiap bulan, ia berlaku secara berterusan selagi penduduk terbabit tersenarai dalam senarai e-Tegar.

Sekiranya ada penerima tidak lagi berada dalam senarai e-Tegar mungkinkah mereka tidak lagi mendapat bantuan skim al It’aam?

Memang itulah kaedah yang kita gunakan. Apabila seseorang itu sudah  tidak berada lagi dalam senarai e-Tegar mereka tidak layak lagi menerima bantuan beras percuma. Setakat ini belum lagi dikeluarkan daripada senarai asal yang digunapakai sekarang.

Bagaimana cara pengagihan yang dilakukan wakil-wakil rakyat?

Pengagihan skim al It’aam berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Bagaimanapun ada sedikit masalah di tempat-tempat yang agak luas seperti di Gua Musang. Di situ kalau hendak buat di satu tempat tentunya menyukarkan penduduk hendak datang. Misalnya di Galas pengagihan boleh dilakukan mengikut zon-zon tertentu. Perlu diingatkan skim ini diberi bantuan dalam bentuk beras dan bukannya wang ringgit. Pelbagai skim lain sudah lama diwujudkan bagi membantu rakyat miskin. Kita tidak beri wang kepada wakil rakyat bagi membeli beras, sebalik membekalkan terus beras kepada mereka untuk diagihkan kepada penduduk miskin.

Bagi kawasan yang diwakili wakil rakyat pembangkang, bagaimana cara pengagihan dilakukan?

Di kawasan tersebut pengagihan dilakukan melalui wakil-wakil yang dilantik kerajaan negeri iaitu Penyelia Dun. Kaedah itu digunakan dengan mengambil kira sejak 1990 bantuan pusat kepada Kelantan tidak disalur terus kepada SUK sebaliknya diwujudkan pula Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Cara yang dilakukan itu seperti tidak mengiktiraf pilihan majoriti rakyat Kelantan. Mereka seperti membawa kerajaan lain bagi mengurus Kelantan. Ketidakadilan sudah dimulakan di situ. Kalau mereka mahu wakil rakyat BN juga diberi peluang mengagihkan beras al It’aam, maka perubahan dasar yang dilakukan sejak 1990 perlu diperbetulkan. Lagi pun wakil rakyat BN sudah diberi peruntukan yang jauh lebih banyak berbanding dengan wakil rakyat kita.

Sampai bila skim ini akan dilaksanakan?

Bagi saya selagi ada penerima yang mendapat manfaat daripada skim al It’aam, program ini InsyaAllah diteruskan. Sebaliknya kita akan tambah lagi input-input bantuan yang akan diberi kepada rakyat. Kita juga mahu rakyat pakat-pakat berdoa semoga hak kita ke atas royalti petroleum diberi bagi membolehkan pelbagai lagi skim dapat dilaksanakan. Pihak yang sengaja mengaut hasil royalti minyak Kelantan sepatutnya merasa malu kerana menggunakan hak orang lain. Namun malangnya sekarang seperti tidak ada perasaan malu bagi mereka mengaku secara terang-terangan merompak hak rakyat Kelantan. Sekarang kita pastikan program skim al It’aam berjalan secara teratur dan lancar. Ini cukup penting bagi memperlihatkan kepada masyarakat skim yang diwujudkan bagi membantu rakyat miskin berjalan lancar. Ini secara tidak langsung dapat menarik minat dermawan terbabit sama bagi menjayakan skim ini. Mereka boleh menyalurkan sumbangan kepada sekretariat. Pada peringkat awal kita menggunakan sepenuhnya peruntukan kerajaan. Kita sedang meneliti struktur khas bagi membolehkan bantuan pihak luar untuk sama-sama menjayakan program kebajikan kepada rakyat miskin ini.

Selepas lapan bulan skim al It’aam dilaksanakan, apakah ada negeri lain juga berminat mencontohi model di Kelantan?

Belum ada dalam pengetahuan kita. Boleh jadi juga promosi skim ini belum meluas dan tidak menjadi tarikan media arus perdana. Cuma baru-baru ini ada seorang individu yang mungkin terbaca di mana-mana mengirimkan wang khas untuk skim al It’aam. Pada masa akan datang kita akan memperluaskan dana dengan menerima sumbangan dermawan bagi menjayakan skim ini.

Berapa pula peruntukan bagi menjayakan skim ini tahun hadapan?

Kira-kira RM3 juta. Jumlah penerimanya sebanyak 8,100 orang setiap bulan iaitu 180 orang bagi setiap Dun. Penerima daripada tempoh Febuari hingga Jun lalu seramai 100 orang di setiap Dun dengan peruntukan RM1.5 juta, namun sekarang selepas ditambah peruntukan sebanyak RM1 juta lagi jumlah penerima ditingkatkan kepada 180 orang di setiap Dun.

Apakah YB berpuas hati perjalanan skim ini?

Ya saya sangat berpuas hati. Lebih-lebih lagi ketika mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Pekilang-Pengilang Padi Kelantan baru-baru ini. Mereka mengucap terima kasih kepada kerajaan negeri kerana skim berkenaan berjaya meningkatkan permintaan beras tempatan. Kalau sebelum ini kita hanya berhasrat hendak membantu rakyat miskin, namun rupa-rupanya ada kesan sampingan lain. Permintaan beras tempatan sudah melonjak daripada 30 peratus kepada 80 peratus sekarang. Kalau sebelum ini beras yang diproses di Kelantan terpaksa dijual di pasaran negeri lain, namun sekarang pasaran tempatan sudah melonjat tinggi. Skim al It’aam rupa-rupanya bukan sahaja membawa manfaat besar kepada penduduk miskin, sebaliknya kepada petani, pengilang dan pengedar beras.

Sebelum ini ada kedengaran sedikit rungutan tentang kualiti beras?

Sebenarnya Super (SP) 15 yang digunakan sekarang adalah beras dirancang di bawah program SUBUR anjuran kerajaan pusat. Gred beras yang digunakan sekarang dicadang Jabatan Pertanian. Dan kalau kajian mendapat beras SP 15 masih tidak elok, kerajaan negeri sedia untuk mengkaji untuk menggunakan beras jenis lain pada masa akan datang. Namun beras Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri di mana kurang bahan kimia berbanding beras import.

 

Mutiara Kata

"Kecemerlangan adalah hasil daripada sikap yang ingin sentiasa melakukan yang terbaik."

Mod Penglihatan Mod Penglihatan Cerah Mod Penglihatan Malap

Saiz Tulisan Besarkan Saiz Tulisan Kecilkan Saiz Tulisan Reset Saiz Tulisan

Bahasa