BAKA LEMBU PEDAGING

Baka-baka yang berpotensi untuk pengeluaran daging dari segi prestasi dan kemudahan mendapatkan bekalan di negara ini ialah :

  • Kacukan Komersial dari Australia
  • Kacukan Friesian Sahiwal
  • Droughtmaster
  • Kacukan Pedaging KK
  • Kedah Kelantan
  • Brahman
  • Local Indian Dairy

Baka-baka yang biasa dipelihara untuk daging di Malaysia adalah:

  • Kedah Kelantan (K-K)
  • Kacukan Komersial Australia (Australian Commercial Cross)
  • Kacukan Friesian-Sahiwal (Mafriwal)
  • Local Indian Dairy (LID)
  • Droughtmaster
  • Brahman

Selain dari itu, beberapa baka lembu pedaging yang terkenal ada dipelihara di luar negeri, di antaranya ialah:

  • Hereford
  • Angus
  • Charolais
  • Shorthorn
  • Simmental
  • Limousin

Pengurusan

Ada 4 cara pengurusan yang boleh dilakukan untuk pembiakan lembu daging:

Cara meragut lepas bebas

Lembu-lembu dibiarkan bebas meragut di kawasan rumput, sama ada di kawasan sendiri atau bukan. Ini termasuklah meragut di tepi-tepi jalan.

Cara ini kurang baik kerana:

  • selalu merosakkan tanaman orang lain
  • kemungkinan dilanggar kereta atau luka oleh kemalangan
  • makanan hanya bergantung kepada rumput di kawasan ragutan yang kemungkinan  tidak memadai
  • perhatian sukar diberikan kepada setiap ekor lembu yang dipelihara.

Cara Berkurung atau Fidlot

Dengan cara ini lembu-lembu pembiak sentiasa berada di dalam kandang, dengan mendapat makanan bermutu secukupnya, air yang bersih pada setiap masa dan garam secukupnya. Makanan yang diberikan sama ada rumput atau dedak atau campuran kedua-duanya diberikan pada kadar berat kering 3 – 5% dari berat badan lembu setiap hari. Biasanya, rumput potong diberikan pada sebelah pagi dan dedak diberikan pada sebelah petang. Ruangan lantai yang diperlukan ialah kira-kira 30 kaki persegi bagi setiap ekor ternakan. Usaha yang lebih adalah diperlukan bagi mencuci kandang dan menjaga kebersihan persekitaran.

Cara Separa Intensif

Cara ini lebih sempurna dan praktikal di negara ini. Lembu yang dipelihara dibenarkan bebas meragut sama ada di kawasan rumput yang berpagar atau di kawasan ragutan awam dalam tempoh masa yang dihadkan. Lembu-lembu dihalau balik ke kandang untuk makanan tambahan dan berteduh di sebelah malam. Ini bermakna penternak perlu menyediakan kandang malam dan kawasan meragut yang mencukupi.

Cara Integrasi Dengan Tanaman Utama

Di negara kita kawasan yang bertanam dengan tanaman utama seperti kelapa sawit, getah, kelapa dan dusun adalah sangat luas. Di bawah tanaman ini biasanya terdapat banyak rumput-rumpai yang subur. Pada kebiasaannya, racuri rumpai digunakan bagi mengawal tanaman itu. Integrasi dengan ternakan akan menjimatkan wang untuk merumpai di samping mengurangkan kos pembajaan ladang. Dengan ragutan berkawal, satu hektar ladang kelapa sawit dapat menampung seekor ternakan dewasa.

KAWASAN & PERUMAHAN

Pemilihan Kawasan

Menternak lembu secara integrasi dengan kelapa sawit adalah satu cara penternakan lembu pedaging yang paling sesuai. Biasanya ternakan ini tidak akan merosakkan tanaman kelapa sawit atau buahnya. Kawasan mestilah mempunyai cokup rumput untuk menampung bilangan ternakan yang akan dipelihara. Pagar keliling ladang mestilah baik bagi mengelakkan kecurian atau ternakan terlepas dan memasuki kawasan lain. Sistem yang sangat digalakkan ini, hanya memerlukan sebuah kandang yang terbuka bagi menyimpan ternakan di waktu malam.

Walaupun kawasan yang boleh ditanam rumput adalah yang paling sesuai, akan tetapi ia memerlukan kos pembangunan yang tinggi. Kecuali keluasan tanah tersebut cukup besar bagi menampung unit komersial, penternakan lembu pedaging secara ini tidak akan menguntungkan. Keluasan kawasan tersebut bergantung kepada cara pengurusan dan banyaknya lembu pedaging yang akan dipelihara.

Kawasan Ragutan

Tanah perlu dibajak dan digemburkan sebelum menanam rum-put bagi menentukan pertumbuhan rumput yang baik. Selepas membajak, tanah dibiarkan selama dua minggu sebelum disisir atau disikat sambil mencampur kapur pada kadar 1 tan seekar. Dua minggu kemudian, kerja menggembur tanah pula dijalankan. Setelah selesai, baja TSP pada kadar 100 kg/ekar dan benih rumput kira-kira 5 kg. seekar bolehlah ditabur.

Baja, kapur dan benih dicampurkan semasa proses penyediaan itu bagi menjimatkan masa kerana tempoh rehat 2 minggu selepas tiap-tiap proses adalah penting. Benih rumput secara keratan boleh juga ditanam secara barisan atau taburan, akan tetapi cara-cara proses penyediaan tanah adalah serupa.

Bagi penternak secara integrasi dengan tanaman utama, penyediaan kawasan ragutan adalah tidak perlu kerana rumpai asli telah sedia ada.

PANDUAN PERUMAHAN

Pembinaan Kandang

Kandang yang baik cuma perlu mempunyai atap/bumbung yang tidak ditembusi air dan lantai yang mudah dibersihkan serta perparitan yang memuaskan. Saiz kandang 30 kaki persegi cukup untok seekor lembu, bermakna bagi 10 ekor lembu, kandang 20 kaki x 15 kaki dan tinggi 8-10 kaki adalah memadai. Bahan-bahan tempatan seperti buluh, kayu hutan, atap nipah boleh digunakan untuk menjimatkan belanja pembinaan.

Palung Makanan dan Minuman

Setiap kandang harus mempunyai palung makanan dan minuman yang cukup. Ruangan makanan ialah 1.5 kaki seekor dan ruangan minuman pula ialah 1 kaki tiap-tiap seekor.

Beberapa jenis palung makanan dan minuman boleh digunakan. Beberapa contoh ada ditunjukkan seperti di Lampiran 3.

Pasung/Trevis

Pasung atau trevis digunakan untuk membuat pemeriksaan, rawatan atau permanian beradas setiap ekor lembu di masa-masa perlu. Ini berupa pagar yang kukuh sebesar salz seekor lembu, yang apabila seseekor lembu dimasukkan ke dalamnya, lembu itu tidak akan dapat meronta.

Makanan dan Air Minuman

Seekor lembu memerlukan kira-kira 20 – 30 kg. rumput sehari. Lembu boleh hanya bergantung kepada rumput jika ianya dari kualiti yang baik. Jika tidak, makanan tambahan dan garam galian perlu diberikan. Makanan tambahan dapat mengurangkan kuantiti rumput yang dimakan, tetapi harganya mahal. Hasil buangan pertanian yang lebih murah boleh juga dijadikan makanan tambahan, contohnya; kulit koko, hampas kelapa sawit, kulit dan hempulur nanas, pucuk tebu, jerami padi, batang sagu dan sebagainya. Batu garam atau garam biasa dan air minuman yang bersih perlu diberikan setiap masa.

KAWALAN KESIHATAN

Mengawal adalah lebih baik dari mengubati penyakit. Lembu yang sihat akan memudah pengurusan dan menambah hasil pengeluaran.

Cara yang betul mengawal penyakit ialah dengan sistem pengurusan yang baik termasuk menjaga kebersihan kandang dan memberi makanan yang bermutu secukupnya.

Penyakit yang biasa terjadi kepada lembu-lembu di negara ini ialah luka, serangan cacing dan parasit-parasit luar badan dan di dalam darah. Bagi mengatasinya, jauhkan lembu dari benda-benda tajam, berikan ubat cacing 2-3 kali setahun dan semburkan ubat kutu tiap-tiap 2 bulan sekali.

Anak-anak lembu pula mudah dijangkit kuman di pusat. Ini dapat dielakkan dengan merawat pusatnya dan talipusat sebaik sahaja anak-anak lembu dilahirkan.

Tanda-tanda am lembu mula berpenyakit adalah:

  • tidak ada selera makan
  • pucat
  • keluar lendir/air dari mulut atau hidung
  • berak cair
  • berlaku sebarang kecacatan atau tidak normal ketika berjalan.
  • Andainya salah satu dari tanda-tanda di atas terjadi, Pejabat Perkbidmatan Haiwan yang berdekatan perlu dihubungi segera untuk mendapat nasihat pemeriksaan dan rawatan selanjutnya.

Mutiara Kata

"Kecemerlangan adalah hasil daripada sikap yang ingin sentiasa melakukan yang terbaik."

Mod Penglihatan Mod Penglihatan Cerah Mod Penglihatan Malap

Saiz Tulisan Besarkan Saiz Tulisan Kecilkan Saiz Tulisan Reset Saiz Tulisan

Bahasa