PEMULIHAN TANAH TERBIAR MEMBUAH HASIL

Oleh Mohd Nor Yahya

TUMPAT: Usaha Kelantan untuk muncul sebagai negeri jelapang makanan negara bukan sekadar omongan, sebaliknya pelbagai usaha dilakukan ke arah itu.

Kesungguhan itu dapat dilihat apabila pemulihan tanah terbiar giat dilakukan. Dalam tempoh lima tahun sejak 2005 hingga 2010 kawasan seluas 2,137 hektar tanah terbiar terbiar berjaya dipulihkan.

Kawasan itu meliputi seluas 679 hektar ditanam padi dan selebihnya tanaman-tanaman lain.

Dan tahun ini seluas 700 hektar lagi tanah terbiar sedang dipulihkan. Bagi mendekati program pemulihan tanah terbiar ada baiknya kita lihat projek contoh yang berjaya dilaksanakan di Kampung Slow Kulim, Teliar.

Kawasan seluas 20 ekar bekas sawah padi telah ditebusguna. Kawasan berkenaan sekarang bertukar menjadi kebun timun mas melon.

Bendang yang terbentang luas itu tidak lagi sesuai dengan tanaman padi disebabkan masalah perairan.

Namun hasil kesepakatan 15 pemilik tanah yang diketuai Abdullah Yaacob, tanaman mas melon yang mereka usahakan mengeluarkan hasil sehingga melebihi 120 metrik tan.

Hasil kejayaan peringkat pertama tersebut menyuntik semangat kepada mereka untuk memperluaskan lagi kawasan tanaman. Bendang kontang tersebut ditebusguna kali kedua sehingga mencapai keluasan 48 ekar.

Tanaman timun mas melon menjadi tumpuan utama, di samping itu ditanam juga labu madu, sayur-sayuran dan betik.

Usaha awal mereka berputik hasil dorongan kuat anggota Exco kerajaan negeri, Che Abdullah Mat Nawi.

Abdullah yang juga Ketua kumpulan peserta penanaman berkolompok projek pemulihan tanah terbiar Kampung Slow Kulim ketika ditemui berkata, setiap peserta kini boleh menarik nafas lega kerana hasil diperolehi mencecah ribuan ringgit setiap musim.

”Kejayaan yang dinikmati hari ini adalah hasil usaha tanpa mengira penat dan lelah setiap peserta. Selain itu hasil dorongan dan bantuan kerajaan negeri.

”Sokongan padu kerajaan negeri terutamanya Exco Pertanian menyuntik semangat kami meneruskan usaha memulih tanah bendang yang sudah lama terbiar,” katanya di sini, baru-baru ini.

Sementara itu Che Abdullah yang Pengerusi Jawatankuasa Pertanian,Industri Desa dan Bioteknologi berkata, peserta projek terbabit turut membuat perjanjian dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi membolehkan hasil tanaman dipasarkan ke Kedah, Johor dan Melaka.

Katanya, peserta turut mendapat latihan dan kursus dianjurkan agensi berkaitan termasuk Jabatan Pertanian dan Mardi.

“Alhamdulillah sehingga kini hasil sokongan pelbagai agensi kerajaan projek contoh ini menerima kunjungan pelawat dari luar Kelantan terutamanya ketika musim memungut hasil.

”Mereka datang bagi melihat kejayaan projek pemulihan tanah terbiar di Kelantan.

”InsyaAllah matlamat menjadikan Kelantan Jelapang Makanan Negara 2015 akan menjadi kenyataan melalui pelbagai usaha dilakukan petani dengan bantuan agensi-agensi kerajaan,” tambahnya.

Projek tersebut juga menjadi perintis penggunaan baja organik bagi meningkatkan lagi pengeluaran hasil tanaman. Dianggarkan lebih 200 beg baja digunakan bagi semusim tanaman.

 

Mutiara Kata

"Kecemerlangan adalah hasil daripada sikap yang ingin sentiasa melakukan yang terbaik."

Mod Penglihatan Mod Penglihatan Cerah Mod Penglihatan Malap

Saiz Tulisan Besarkan Saiz Tulisan Kecilkan Saiz Tulisan Reset Saiz Tulisan

Bahasa